30 April 2012

Rezeki.. Rezeki

Bulan April ni, Kelab Sukan & Kebajikan opis aku ada anjurkan satu contest. 'Cutest Baby of CKJG' nama contest tu. Aku pun saje-saje menyibuk joinkan anak aku. Memeriahkan acara macam selalu. Dah alang-alang jadik urusetia, pastu tiada halangan nak turut serta, apa lagi.. Submit je lah 2 keping gambar anak. Cuba nasib, mana tahu ada rezeki kan. Hadiah pun boleh tahan lumayan (:

Peserta pertandingan. Comel-comel belaka semua. Pening kepala semua nak mengundi.

Alhamdullilah. Rezeki Cha, dapat no.2. 

Ni kira hadiah birthday boleh Cha? Kita beli basikal eh guna voucher kemenangan awak tu. Ibu tolong top-up sikit. Tak lah nanti asal nampak basikal orang je, pegang tak nak lepas. Tapi kan Cha, kat mana lah kita nak main basikal kat rumah tu. Nak harapkan ibu bawak turun ke bawah..aduyaiii, tak berapa rajin lah Cha. Tapi takpelah, kita beli je dulu. Nanti kalau dah ada, mesti abah rajin bawak Cha turun main basikal.

Terima kasih kepada semua warga CKJG yang mengundi dan memberi markah tinggi kat Cha. Budak tu kalau bergambar memang terror, lagi-lagi sejak abah dia ada kamera besar bagak ni. Hala je kamera kat dia, dari duduk terkangkang, terus kepit kaki, sengih-sengih buat muka malu konon.. Hahaha, tak sia-sia abah awak beli kamera berniat nak amik gambar awak banyak-banyak. Yelah, ibu asyiklah ajak abah buat family photoshoot, last-last dia beli terus kamera. Amiklah gambar puas-puas dia kata..

* urusetia, voucher amik awal boleh?? hehehe.. nanti masa majlis penyampaian hadiah, dummy je lah ngan pape..

29 April 2012

Eisya Birthday Bash: Terima Kasih

Alhamdullilah.

Syukur sangat majlis yang dirancang *berbulan lamanya mungkin* berjalan bagai yang direncanakan. Meriah. Walaupun ramai jemputan tidak dapat menghadirkan diri. Cuti bersambung kan, dengan dah gaji pulak tu. Takpe, kami paham. Itu pun rumah kecik kami padat jadiknya. Penuh segala sudut rumah. Syukur juga, makanan yang disediakan mencukupi menjami semua tetamu. Desert siap berlebih. Syukur. Cukup risau aku kalau makanan tak cukup. Alhamdullilah..

Rasa macam sangat berbaloi usaha yang dicurahkan.

Pastinya, terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang sudi meluangkan masa, sama-sama datang meraikan sambutan ulang tahun ke-2 Eisya ni. Sama-sama merealisasikan segala apa yang ibu dia ni rancangkan. Terima kasih sangat. Aku sangat hargai. Sungguh. Tanpa tetamu, apalah maknanya majlis kan. Tak sia-sia aku bertungkus-lumus, berjaya sampai pukul 3-4 pagi. Sakit pinggang, sakit tengkuk semua. Tengok tetamu gembira, berselara.. Hilang rasa sengal-sengal semua. Terima kasih!!


terima kasih kepada AJK bidan terjun.. kesian, sampai-sampai kena kerah tiup belon. siap sekeluarga pakai ikut tema color, walaupun tak pernah diwar-warkan adanya tema color (: Jangan serik ye muncul awal. Tapi tu pun tujuannya kan..datang awal sebab nak bantu mana yang patut *sengih*

disebabkan achik Zul yang paling tinggi, tolong gantung belon eh.. TQ 

Dan, terima kasih yang tak terhingga juga untuk Pak Teh dan Mak Teh Eisya di Sibu, Sarawak sana. Biarpun jauh, tak dapat sama-sama meraikan majlis untuk Eisya ni, sebagai tanda ingatan buat anak sedara tercinta, kek harijadi ditaja percuma. Alahaii, malu sebenarnya. Tiap tahun kek harijadi Cha derang taja. Tapi tak baik kan menolak pemberian orang, maka kami terima dengan ucapan terima kasih yang tak terhingga.

Rainbow Cake with buttercream. Zoo theme!! Sedap.

semua tak sabar nak capai elephant, bear ngan giraffe tu. tapi pastu bagi kat mak masing-masing. dah la dah masuk mulut.. anak-anak..

Ohh, tak lupa juga segala pemberian dan hadiah yang dibawa bersama untuk Eisya. Buat susah-susah je *hehe..sebenarnya suka* Eisya pun sangat suka, bukan main tersengih dia bila bangun tidur tengok hadiah menimbun keliling dia. Ekspresi yang sangat berharga. Rasa sangat puas hati. 

tengok anak senyum gembira macam ni, hati rasa puas sungguh.

Eisya pun macam faham je yang semalam adalah hari meraikan dia. Walaupun mula-mula tu dia macam takut-takut tengok orang ramai dalam rumah. Tapi bila dah warm-up, orang datang hulur hadiah, tersengih-sengih sambut. Suruh salam pun dia buat tak tahu je bila hadiah dah kat tangan.


tengok..tengok.. orang tak hulur pun lagi hadiah kat dia, tapi dia dah panjangkan tangan siap-siap. 
Eisya.. Eisya

Akhir kata, kami sekeluarga.. memohon maaf andai ada terkurang apa-apa di majlis kami ni. Andai terkurang layanan, maafkan kami. Tak mampu kami nak entertain semua tetamu. Maaf ye, jangan serik pulak. Mohon maaf juga andai terpaksa bersesak-sesak dalam rumah kecik kami. Maaf ye jika tak selesa terpaksa bersila atas lantai semua *dahlah aku kelam-kabut, lupa nak bentang carpet..maafkan saya* Dan jika juadah yang disediakan kurang menepati piawaian citarasa, aku mohon maaf juga. Nanti boleh email komen berkaitan untuk aku improve di masa akan datang (:

Senang kata, TERIMA KASIH SEMUA!!!




26 April 2012

Pre-Celebration

Tadi malam tidur pukul 1 pagi. Agenda menjadi burung hantu, berjaga sampai tengah malam bermula dah. Kira semalam, episod pengenalan lah. Serasikan diri dengan dapur di waktu malam. Tadi malam aku membakar 150pcs muffin. Untuk dijadikan 'favor gift' kepada kawan-kawan, abang dan kakak Eisya di nursery. Kena buat 70 pcs ye. Maka, aku letak je lah 2 biji muffin setiap 1 pek. Niat hati nak letak 3 biji, tapi tak larat la pulak nak membakar sampai 200 biji.

2 biji cukuplah eh.. achik buat penuh muffin cup tu.

Proses membungkus.

Tagging tak dilupakan. Menjadi dayu, itu adalah kemestian.

Tahun lepas aku buat apam polkadot, amik kau puul 4 pagi baru tidur. Nasib baik muffin ni mudah sikit kejenya. Campur-campur bahan, isi dalam cup, bakar. Sejukkan sikit, terus masukkan dalam plastik bag. Terima kasih kepada En Ekwan sebab sudi membantu. Tapi pakcik tu kata 'tahun depan kita gi je Tesco, beli mamee ngan choki-choki, tak payah sakit-sakit pinggang macam ni' Elehh, macam dia yang membancuh, membakar.. Achik yang sakit pinggang, dia lak yang dah tak larat.

Niat dia baik kot, tak nak menyusahkan wife dia ni. Tapi nak buat macam mana, bini awak ni lebih suka nak buat sendiri semua. Alah, dia kata je sakit pinggang segala, tapi ok je sebenarnya.

DONE!!

Pagi ni masa hantar Eisya ke nursery, ada jugak 2,3 parent lain yang sama-sama menjinjing beg plastik besar berisi favor gift untuk anak-anak kat 'school' Rasa macam petang ni nak turun awal lah, nak sama-sama nyanyi lagu birthday untuk Cha.

*alah, lupa bawak kan dress untuk Cha. hahaha, ada potong kek pakai baju tidur petang kang

25 April 2012

wish me luck

Hujung minggu ni aku ada agenda besar + penting dalam hidup. Chewah!! Statement.. Over seperti biasa. Rasanya semua sedia maklum kot, apa agenda aku hujung minggu ni. Sabtu dan Ahad akan menjadi sangat padat. Hari Sabtu menerima kunjungan tetamu, Ahad pula siapkan diri dan perut memenuhi undangan pula. Aku tak pasti, mampu ke aku sekeluarga nak memenuhi undangan yang sampai 5 tu. Kena susun ikut keutamaanlah jawabnya.

Jadual bekerja aku dah susun baik punya. Iyelah, achik bekerja seorang diri. Maka, kena pastikan diri berdisiplin. Pastikan segala jadual dipatuhi. Kalau tak, sendiri tanggung bahananya. InsyaALLAH. Aku dah berpengalaman benda-benda gini, Alhamdullilah berjaya setakat ni. Yang penting aku dapat kerjasama yang terbaik dari anak dan abah dia tu.

InsyaALLAH.. niat yang baik, pasti dipermudahkan..

Merancang 2 agenda hidup dalam masa yang sama memang adaklanya mampu buat otak aku biul. Checklist memang sangat-sangat membantu. Yelah, aku ada 2 hari je lepas agenda pertama, datang pulak agenda yang ke-2. Kalau tak merancang 9 bulan awal, memang haru-biru aku rasa. Mana boleh dibuat dulu, buat awal-awal. Mana yang memang kena buat 5 jam sebelum majlis bermula, kemudiankan lah. Perancangan masa adalah sangat penting.

-balik tampal kat pintu peti ais-

Merancang majlis, pastu semua buat sendiri memang kalau tak rancang betul-betul, entah apa jadiknya. Bila dah makin dekat dengan masa kejadian, tiba-tiba nervous kau. Harap-harap semua yang dirancang berjaya dicapai. InsyaALLAH. Semoga Eisya juga dikurniakan kesihatan yang baik pada hari dia diraikan nanti. Nak dia ceria pada hari tu.

Dalam tak sabar, gementar pun iye.

* groceries list dah tersedia
* patut aku dah start packing bag ni. tp memang last minit lah jawabnya

24 April 2012

SmartTag

Aku tertanya-tanya jugak 'kenapa tak nak beli Touch N Go hah diorang ni?

Yelah, beratur punyalah panjang. Sekurang-kurangnya Touch N Go kot, kalau tak nak melabur beli Smart Tag. Tapi bagi aku, keluar je lah duit sikit. Sangat memudahkan okay ada Smart Tag ni. Masa jimat, minyak kete jimat. Badan pun tak letih dok dalam kete lama-lama beratur atas jalan. Kalau bawak kereta auto ok lagi, kalau manual memang letih lah..

Dulu pun macam ngelat gak bila Ekwan ajak beli Smart Tag. Konon tak perlu, Touch N Go dah cukup. Tapi bila dah ada, rasa 'fuuhh!! bestnya' Yelah, kitaorang tiap-tiap hari lalu jalan berbayar, ikut jalan percuma kang, entah bila la sampai. Maka, 'beli masa' lah kami. Tak sanggup aku demi nak jimat RM 2.60 kena duduk atas jalan sampai ke malam.

Aku dah sampai rumah, yang beratur kat lorong tunai tu entah dah lepas ke belum agaknya.

Tapi aku cukup hangin kalau ada yang buat sangkut. Peerghhh!! Lagi-lagi kalau pagi. Aku dah lah berebut kejar masa nak punch card, boleh pulak ada yang buat jammed lorong SmartTag tu. Geram. Paling aku geram bila boleh tengok kenapa dia tak boleh pass thru gate tu. Pandai sangat, pegang SmartTag pun terbalik. Aduhaii!!! Geleng kepala aku.

Lain kali tolong ye, bila dah beli SmartTag, tolong google cara nak guna.

Lagi satu, tolong pastikan kad tu ada baki eh.. Jangan sesuka hati nak menambah dosa orang sebab menyumpah seranah akibat kesengalan pemandu di hadapan.

23 April 2012

Poplook punya angkara

Aku subscribe email mailing notification ngan Poplook. So, bila ada stok baru dari Poplook mesti dia antar email suruh aku gi jenguk tengok. Siap nak upload pukul 11am, pukul 9 pagi dah antar email bagitau. Aku lak, boleh lak teruja lebih. Asyik tengok jam. Macam duit dalam akaun melambak-lambak je. Melambak tu tak lah, tapi adalah sikit. Tu yang tak duduk diam tu.

Tepat jam 11, terus taip www.poplook.com Dan tahniah!! Poplook berjaya dapat duit aku.

Nasib baik ni 1 je masuk dalam bakul shopping. Ikut hati, banyak lagi yang berkenan. Tapi sedar diri, cukup lah 1 buat masa ini. Iye, buat masa ini. Masa hadapan kita tak tahu lagi. (:


Tapi ada sedikit risau ni. Risau maxi dress ni senteng untuk aku. Sebab dia tulis kat situ, length dia cuma 140cm. Tapi aku tengok model ni yang berketinggian 158cm, dengan heel 4.5 inci pakai macam meleret lagi dress ni, aku assume InsyaALLAH tak senteng.. Tapi kalau nanti macam tak memenuhi piawai, siap sedialah  layan entry jualan amal aku ye.

Untuk makluman, warna kegemaran saya buat masa ini adalah oren dan merah. Merah terang punya. Tu yang bila suami saya ajak tukar cat bilik air, saya cakap 'kaler oren yang.. oren macam baju orang ni'

*sehingga ke waktu ni dah 3 helai baju oren aku beli

Kisahnya

2 minggu ni aku macam takut dengan kadar pengambilan makanan dan susu Eisya. Susu 1kg 3 hari je habis. Selalu tahan jugak seminggu. Ni 3 hari.. 3 hari okay. Kalau tak makan nasik tu yelah kot. Ni lepas makan nasik setengah pinggan saiz dewasa, basuh je tangan 'susu!!' Takut aku nak bancuh susu bagi dia. Tapi bagilah jugak. Selamba je dia habiskan 9oz. Pastu tak sampai sejam, dia minta susu lagi.

OMG!! OMG!! Time berselera tak hingat, time tak nak makan, sesudu pun tak lepas.

Badan gitu jugak. Tapi bila dukung.. Errk.. Sakit pinggang kau. Berat.

budak ni lepas terperanjat, dia terpulas handle motor sekuat hati. nasib baik tak melompat. tu muka macam takde perasaan tu
*ok, gambar macam off topic. maafkan saya*

Petang semalam gi Tesco. Saja membuang masa. Sangat. Kau ingat Ekwan rajin nak layan aku buang masa gitu gaya?? Takde maknanya. Ni pun puas remind dia. Kan katanya F&F kat Tesco tu ada jualan murah. Tu yang nak meninjau tu. Mana tahu boleh menambah koleksi baju anak dara tu. Baju sedia ada banyak dak terjungkit, lagi-lagi tang perut. Anak saya buncit bebenor sekarang ni. Tapi kecewa sedikit, sale memang sale, tapi stok banyak dah habis. Keciwa kau!!

Tapi takpe, nasib baik aku memang selalu beli baju basahan Cha kat Tesco. RM5 je kot. Tapi design comel-comel. Kain pun boleh tahan. Paling aku suka legging dia. RM10 je, Amik 3,4 pasang habis RM50 je. Achik suka. Alah.. baju pakai kat rumah, pakai kat nursery. Kuar jalan-jalan pun pakai jugak. Eisya pun suka. Tiada permasalahan di situ. Anak suka, selesa. Poket ibu abah selamat. *Senyum*

Sila jangan kata kami berkira, kedekut ngan anak. Eh, orang tak kata apa, kau nak bagi reminder siap-siap lak Dayu. Harus.. sebelum achik sentap (:

Nyesal tak bawak stroller. Merasa lah aku sakit pinggang, lenguh lengan segala dukung budak ni menyusu. tapi mata tetap ligat, leher tetap panjang menjengah baju-baju yang tergantung

sudahnya selamba je aku melabuhkan kaki di tepi offer rack ini. lantak. peduli lah orang nak tengok ke apa. tak larat ok nak dukung budak ni menyusu. patut hypermarket kena sediakan baby room kat dalam shopping area lah. more convenience.. 

tapi tak lama sebenarnya, terus Ekwan angkut letak Cha dalam trolley

sehingga akhirnya tertidur dalam trolley. kesian anak ibu. tapi lena juga sampai ke dalam kereta. ngantuk sangat lah tu. tapi bagus, senang ibu awak nak shopping

Taklah shopping mana pun. Beli barang tak seberapa, suku trolley pun tak sampai, pun habis beratus. Hhmm, kecik sungguh nilai wang sekarang ni kan. Gi kedai runcit sebelah rumah, bawak RM50 pun adakalanya bila kuar kedai, masuk pintu rumah, tinggal RM20 je. Alahaii.. Tingginya lah kos hidup kat Kuala Lumpur ni. Bila fikirkan hal-hal yang begini, terus rasa tak kesah kalau kena tukar ke kawasan luar bandar, tapi bila pikir tang seronok.. pilihan pertama bila isi borang pertukaran KL jugak dipilihnya.

Takpe lah. Belajar lah dulukan mana yang penting. Utamakan keperluan. 

Dan syukur. Start bulan depan, ada pertambahan gaji, Terima kasih. Dan terus semat azam nak bekerja dengan lebih dedikasi, agar apa yang diterima setimpal dengan apa yang diterima.



21 April 2012

20 APRIL 2012

Simple celebration untuk meraikan genapnya 2 tahun Eisya Elyssa. Walau kelihatan simple, tapi amat bermakna. Makan malam kami ber-3. Ibu suap Cha, Cha suap abah. Abah suap ibu.. Wow.. So sweet. Jarang kejadian ni berlaku sekarang ni, selalunya Eisya akan makan dulu. Pastu ibu/abah makan. Sorang jaga Cha. Bila makan kat luar lah baru dapat main suap-suap ni.

20 April 2012 adalah hari yang sangat best.

Ibu tak payah masak juga adalah penyebab untuk menjadikan 20 April 2012 sangat best.

HAPPY BIRTHDAY SAYANG.
Ibu dan abah sayang Eisya sangat-sangat. Tak terkata banyaknya.

abah!! nah..

eleh, sombong ngan ibu eh.. ajak amik gambar sama tak nak

Simple dinner yang sangat best. Sangat penuh dengan rasa kasih sayang. Terima kasih atas kesempatan dan rezeki yang diberi *mampu lagi nak masuk Secret Recipe di hujung bulan* Semoga kasih sayang ni akan terus berkekalan. Semoga segala impian dan doa akan termakbul. Sempena hari yang istimewa ini. Amin.


Sayang kamu berdua. Hingga hujung nyawa.



Yang Pertama

ni kira hadiah hari jadi boleh Cha?

20 April 2012

Anakanda Tercinta


SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-2 
EISYA ELYSSA BT MOHD EKWAN.

Kasih sayang ibu tak pernah berbelah bahagi untuk awak, dan ibu yakin abah pun sama. Walau ada kalanya ibu seakan ambil ringan, percayalah.. Ibu sentiasa berusaha beri dan dapatkan segala yang terbaik buat awak. Awak kesayangan ibu. Awak sentiasa ada bersama ibu. Bila ibu sedih, awak ada untuk ibu peluk cium. Terima kasih Eisya sebab sentiasa ada di sisi ibu.

Semoga kasih sayang antara kita tak akan pernah berkurang.

Awak akan sentiasa jadik kesayangan ibu. Ibu janji. Biar nanti bila kita tidak lagi hanya bertiga, ibu akan pastikan kasih sayang ibu buat anak-anak ibu adalah setara. Tidak ada yang lebih, takde yang kurang. Ibu pastikan abah juga buat yang sama. Ibu nak berlaku adil kat anak-anak ibu. Tapi Eisya kena tahu, Eisya sememangnya dapat lebih dari apa yang adik-adik Eisya akan dapat. Eisya dah lalui 2 tahun bersama ibu dan abah. Ibu dan abah milik Eisya seorang sepenuhnya. Ke mana-mana, kita sentiasa bersama. Eisya patut bersyukur. Tak pernah ibu tinggalkan awak dan ibu pergi bergembira. Terpaksa tinggalkan awak berdua dengan abah atas tuntutan kerja pun ibu sayu.

Don't worry sayang, apa yang Eisya miliki sekarang akan tetap awak miliki sampai bila-bila. Selagi ibu dan abah terdaya.

Membesarlah menjadi anak yang mampu menenangkan hati ibu dan abah. InsyaAllah. Ibu dan abah sentiasa berusaha memperbaiki diri, demi memberi contoh yang terbaik buat awak. Menjadi anak yang bijak, dengar kata, taat perintah adalah impian semua ibu bapa kat dunia ni. Ibu juga mengharapkan perkara yang sama dari awak. InsyaAllah, sama-sama ye kita berusaha. Sayang Eisya.

Semoga anak ibu akan membesar dengan sihat dan nanti akhirnya akan jadik anak yang solehah, yang mampu membantu ibu dan abag di sana nanti.

Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-2 Eisya Elyssa. Ibu sayang Eisya.

*2 tahun lepas, waktu ni aku tengah bergolek-golek atas katil Hospital Serdang. Muka masih boleh senyum, boleh reply sms bagai..contraction tak datang memperkenalkan diri lagi.
** sorry Cha.. tadi malam x sempat nak kiss awak sempena bertambahnya umur. kita 3 beranak dah tertido bergolek depan TV. malam ni eh.. kita potong kek, nanyi lagi 'to you'

19 April 2012

COKLAT CHIP MUFFIN

Tadi malam tiba-tiba aku rajin nak gunapakai oven yang dah 3 hari tak guna. Semangat datang secara membuak-buak sebab nak try muffin tray yang baru dibeli. Mana boleh simpan, kena kasik try. Tu yang terus belek buku resipi sambil check bahan yang ada dalam stok. Eh.. almost semua ada. Maka, pilih yang mudah. Marilah meng'muffin. Itu yang paling mudah.

Dan Coklat Chip Muffin menjadi pilihan.

COKLAT CHIP MUFFIN

Mudah dan cepat untuk disediakan.Ini resipi dia. Silalah mencuba. InsyaALLAH, menjadi. Secara jujur, ini percubaan pertama ni. Alhamdullilah, elok rupa, elok juga rasa. Mungkin faktor buat dengan penuh rasa kasih sayang buat anakanda tercinta. Tu yang hasil pun memberangsangkan. Lepas ni kena masukkan IKHLAS dalam semua ingredients memasak.

COKLAT CHIP MUFFIN

Bahan A
  • 3 cawan tepung gandum -sila ayak 3 kali, kalau malas gunalah tepung superfine
  • 2 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil soda bikarbonate
  • 2 cawan gula perang
  • 2 cawan serbuk kokko
Bahan B
  • 1 cawan mentega -dicairkan
  • 2 cawan susu segar
  • 2 biji telur - dipukul sedikit (aku guna whisk je)
  • 1 sudu kecik esen vanilla
 Cara-cara membuat COKLAT CHIP MUFFIN ini:
  1. Satukan semua bahan B. Ayak semua bahan A kecuali gula perang.
  2. Masukkan bahan A ke dalam bahan B yang telah dicampurkan. Gaul rata
  3. Isi 3/4 muffin cup. Tabur coklat chip. Bakar guna suhu 190C selama 20-25minit. Ni depend pada oven masing-masing. Siap
 Sedap makan panas-panas. Lembut je. Tapi dah sejuk pun, Alhamdullilah masih lembut di dalam. 

*nak lagi cun sila jangan kedekut coklat chip, stok coklat chip aku tinggal sikit, tu yang ciput je aku tabur.
* aku saje bakar lama sikit, saje nak bagi yang bahagian atas tu rangup
* sangat sesuai nak dijadikan door gift muffin size S ni

18 April 2012

Hiburan Percuma *sengih*

Kalau dengar benda free ni memang aku orang pertama yang senyum lebar sampai ke telinga. Sape tak suka benda free weh.. lagi-lagi time tengah bulan. Memang super menyeronokkan lah.

Pulak tu dapat benda free yang super duper best. Memang sengih habis lah aku.

Apa-apa pun terima kasih buat sahabat ku di Terengganu sana, TQ Zek. Pemberianmu sangat ku hargai. Sangat berharga pemberian kau ni. Beratus jugak nilainya. Yelah, 4 keping tiket Gold Class GSC. Tak beratus jadiknya. Tu tak gi redeem kat GSC Signature The Gardens, bertambah lagi nilai dia. Terima kasih banyak-banyak ye. Walaupun mulanya rasa malu, segan nak terima. Tapi bila tiket sampai ke tangan aku, hooray jugak!!

Terus check showtime Battleship kat semua Gold Class GSC.

Dan panggung yang bertuah nak meneima kedatangan kami ber-3 adalah GSC One Utama. Ingat nak gi MidValley, tapi waktu tayangan macam tak mematuhi kehendak jadual hidup. Maka OU je lah. Tu pun puas melilau 2,3 jam kat sana sementara tunggu waktu tayangan. Baik-baik konon nak hiburan free, habis duit entah ke mana-mana. Beli itu, beli ini. Sedar-sedar habis dah cash dalam purse. Lumrah kot. Tak nak duit dalam purse luak, duduk dalam rumah diam-diam. Dengan syarat, jangan klik mana-mana online shop.

Selamat Datang Ke Gold Class GSC One Utama
- Eisya layankan aje abah ngan ibu dia, ibu suruh angkat tangan tengok atas, redha je lah dia ikut arahan-

seperti biasa, Eisya tetap dengan prestasi baik di dalam panggung. tengok pulak citer robot-robot. memang diam lah dia. tapi panas pulak panggung tu. berpeluh-peluh Eisya. Tapi aku pelik, kenapa orang lain siap boleh berselimut bagai?? Selimut aku, aku siap campak bawah lagi
*oohh.. mentang-mentang aku masuk pakai voucher kau tutup aircond kat aku eh???*

Eisya yang tiba-tiba 'takut..takut' Erk eleh, tengok robot, bunyi meletup-letup tadi rileks je, dah habis baru nak takut..'

Kalau guna duit sendiri, tak masuk kot aku GC ni. Tak berbaloi kot bayar sampai RM65 hanya untuk 1 seat yang super comfort tu. Bayar RM11 untuk normal cinema sudah, pastu baki tu gi makan seafood platter kat Fish Manhattan lagi bagus. Ni kalau kira 1 seat, kalau 2 seat.. tak ke membazir tu namanya. Tapi sebab free.. achik suka!!!

17 April 2012

Remaja gitu (:

Cha dah ada akaun remaa ASB.. Wah!! Anak ibu dah remaja. Sedangkan 2 tahun pun belum lagi. Besar dah la tu konon. (;

Bila dapat tahu, dah boleh bukak akaun remaja ASB untuk budak umur 6 bulan ke atas terus rasa nak gi tutup ASD Cha dan transfer semua ke ASB. Tapi asyik tertangguh je. Hari tu dah ke PNB, tapi terbantut niat sebab aku tak bawak surat beranak dia. Ada kesempatan ni, aku larilah kejap ke Menara CIMB sebelah Sogo tu. Niat di hati nak bawak sekali isi perut tabung garfield Cha tu. Tapi berat lah. Tak larat. Biarlah sampai betul-betul tak boleh isi lagi. Tapi risau tabung tu 'makan' kaki orang. Peerghhh!! Kalau ajtuh atas kaki tu memang meraung lah.. Berat kot..

Lepas ni tak perlu lagi nak kecewa bila beriya bawak duit anak nak dilaburkan, akak kat kaunter kata 'maaf ye puan, unit ASD dah penuh lah'

umur 2 tahun tapi dah ada akaun remaja. hebat lah anak zaman sekarang

*anak ibu kecik-kecik dah banyak duit
* berniat nak buat potongan gaji untuk saving Eisya. RM20 sebulan boleh? (: Alah, ngan SSPN lagi, Insurans.. sebulan habis gak RM200 untuk dia. kena adil beb, nanti kalau ada anak sorang lagi. kena pastikan si adik pun dapat benda yang sama. maka.. silalah jangan melebih sangat untuk si sulung ni. nanti tahu kat adik dia, tak pasal-pasal jeles.

16 April 2012

Budak nak masuk 2 tahun sorang ni

Alahaii.. anak ibu, anak ibu.. Macam-macam gelagat dia sekarang. Ada kala tak larat nak layan. Penat. Geram pun iye. Tiba-tiba datang cubit pipi ibu kuat-kuat, geram sungguh gayanya. Mungkin niat dia nak bergurau, tapi salah cara. Ikut hati nak je aku lepuk tangan dia, tapi bila mengenangkan dia tak paham pape lagi, aku urut dada, usaha sabar sehabis baik. Lepas tu bagi pesanan 'jangan la buat ibu mcm tu..sian ibu, sakit' Hati jadi makin sayu bila lepas dengar ibu kata ibu sakit, dia terus peluk ibu ketat-ketak. Tapi tak sampai 3 saat kot. Dia lepaskan pelukan, toleh pandang ibu dan kata 'dah..siap' Pastu lari.

Chaaaiittt... Kasik la lama sikit kalau ye pun..

Sekarang dah pandai pilih baju sendiri.

Ibu: Cha, amik baju ni lah eh.. lawa ni, kain pun sedap
Eisya: Nanak..

Ibu: Yang ni?? Ok??
Eisya: Nanak.. Nanak..

Kemudian dia turun dari stroller dan berlari satu store. Nasib baik orang tak ramai, ikut suka awak la nak lari mana. Tapi disebabkan awak tu rendah lagi, susah nak pantau. Dah la ajak main 'cak cak' celah baju. Alahaii, senak nafas ibu ngan abah tau.

Budak ni pantang jumpa cermin. Lagi-lagi yang besar bagak gini rupa, memang keluar la perangai gedik yang 1 ni. Ini perangai ikut siapa tak tahu, sebab sah-sah bukan abah dia. (:

Puas posing, dia lari, campak baju tu amik baju lain. Tapi aksi tersebut tidak berjaya dirakam. Sebab jurugambar pun dah menjerit sama 'Eisya!!!'

Ini antara faktor kenapa aku tak akan keluar ber-2 sahaja dengan Eisya. Kecuali betul-betul terpaksa. Kalau tak aku rela duduk diam-diam kat rumah. Tak sanggup nak jadik Godzilla di luar rumah. Kalau kat rumah, aku memang selalu biarkan aje dia buat apa dia nak. Nak 'kemas' dapur?? Silakan.. Tahu-tahu ibu jumpa bawang bawah fridge *redha* Nak selongkar bakul mainan, selongkarlah, terabur lah ikut suka. Tapi aku marah-marah la juga, sambil meraih simpati 'sian ibu.. penat ibu nak kena kemas' Tapi dia pandang 5 saat, pastu sambung semula.

Selagi dia tak tidur, rumah memang macam kena langgar garuda.

Kalau nak datang rumah, sila sms atau call 2 jam awal je. Sambil sempat nak mengemas rumah, boleh juga buatkan muffin ke.pudding roti ke (:

*sedang berusaha tidak mahu terjerit-jerit kat anak. didik rasa sabar yang lebih menebal dalam diri. aku tak pasti mana aku baca, tapi ayat tu berbunyi 'anak-anak yang belum akil baligh ni ahli syurga,  kita yang belum tentu syurga neraka ni, layak ke nak marah-marah ahli syurga' Lebih kurang gini lah.. tu yang kalau termarah dia, terasa macam menyesal. Patut aku tegur dan explain kenapa.. bukan marah tiba-tiba. berusaha.. berusaha

**parenting is lifetime learning 

13 April 2012

Siapa pilihan anda

Siapa yang anda semua selalu namakan sebagai dalam ruangan 'Butir Waris'

Ibu? Anak? Suami?

Dulu masa bujang, dengan penuh yakin aku isi nama mak aku. Tulis besar-besar nama mak, dan kat ruang hubungan tulis IBU. Tapi bila dah ada suami, pastu ada anak pulak. Aku tiba-tiba berada dalam dilema. Nak tulis nama siapa ni? Tiap kali kalau perlu isi butiran waris, aku jadik terhenti kejap. Dari atas tadi lancar je menulis, sampai kat bahagian hujung-hujung ni.. Eh.. apa nak tulis ni? Nak letak nama siapa ni?

Kalau dalam borang tu boleh isi 2 nama, senang sikit. Aku bagi sama adil. Tapi selalu aku lebihkan percentage untuk Eisya. Tapi kalau kat ruangan tu suruh bagi 1 nama je?? Terus achik 'ku dalam dilema'

Masa aku beli insuran dan namakan juga Ekwan sebagai waris bersama nama Eisya, budak yang jual insuran tu kata 'wahh.. bagus lah awak ni, jarang client saya yang namakan suami tau' Aku tersengih je. Tak ramai eh namakan suami? Kenapa? Risau dia berjoli sakan, kawin baru dengan duit insuran korang. Tipulah kalau aku kata aku tak terfikirkan kejadian yang begitu andai aku tiada lagi nanti. Tapi entahlah, aku rasa dia antara yang layak untuk aku namakan selain Eisya.

KWSP aku belum buat penamaan, tapi itu tak perlu kot. Tak lama lagi pun nak tutup akaun dah. Tapi aku tak pasti, siapa yang Ekwan namakan untuk KWSP dia. Ke dia tak buat lagi erk?

Bagi aku, jika tak dinamakan sebagai waris bukanlah bermakna orang tu tak penting dalam hidup kita. Kalau letak keperluan macam tu, memang tak terisi lah ruangan tu. Mampu kau pilih antara mak, ayah, suami dan anak? Pilihan aku lebih kepada insan yang aku rasa mampu nak menguruskan apa yang bakal aku tinggalkan jika jasad dah terpisah dengan badan. Yang aku percaya, dia mampu laksanakan apa yang aku amanahkan. Bukan sebab dia lagi penting, lagi aku sayang. Bukan sebab itu.

Harap-harap kepercayaan yang diberi tak disalahtafsirkan.

12 April 2012

Blogger Birthday Gathering: 1/2012

Sebagai penganjur atau host of event, rasanya wajib kot aku publish entry pasal Blogger Birthday Gathering yang telah Alhamdullilah berlangsung dengan meriahnya pada 7 April 2012 yang lalu. Actually birthday anak-anak, tapi seperti biasa yang terlebih excited, lebih gembira, over bergambar harus lah mak-mak nya. Anak-anak gembira jugak, tapi rileks je.

Majlis bermula jam 2 petang di Tasik Shah Alam. Sebab buat outdoor event, keadaan cuaca selalu merunsingkan. Risau kalau hujan. Tapi Alahmdullilah, cuaca sangat baik. Tapi bila keadaan tak berangin dan agak panas, risau jugak aku. Dah terfikir dah ngan Ainul nak suruh dia bawak kipas, tapi mana power supply nyer achik wehhh?? Sudahnya, berkipas ngan tutup tupperware je lah. Nasib baik, bila makin ke patang, makin berangin kawasan tu.


 jom!! jom potong kek ramai-ramai

Jujur aku kata.. Gathering kali ni menjadi meriah, disebabkan support dari semua. Kerjsama yang diberikan adalah yang terbaik. Kalau nak harap aku sorang memang tak terdaya, mesti banyak kurangnya. Mahu kucar-kacir majlis petang tu. Tu yang aku publishkan entry penghargaan terlebih dahulu untuk kawan-kawan yang banyak membantu menjayakan majlis ni. Ribuan terima kasih!!

makanan adalah sangat banyak.. tak tahu nak makan mana dulu. mihun goreng Ainul adalah paling laku. tapi menjadi Dayu, harus makan semua. kecuali yang sendiri bawak (:

 makan ramai-ramai. rasa itu, rasa ini. meriah sungguh!! dah macam kenduri dah. 

Riuh sekejap kawasan tu dengan suara kita tergelak sana, gelak sini. Dengan suara anak-anak lagi. Nasib baik kawasan tu macam tertutup sikit kan, kalau tak mesti orang lalu-lalang semua perhati je apa kita buat. 

Happy Birthday in advance Eisya!! Seronok awak ye, sambut birthday banyak kali.

InsyaAllah.. andai ada kesempatan, masih ada sambutan, ada permintaan, majlis sambutan harijadi anak-anak UB akan diteruskan hingga ke hujung tahun. Yang awal tahun ni dah diraikan, mana aci kan kalau yg lain tak sambut. Kena adil kat semua. InsyaALLAH 2nd batch nanti kita buat lagi gempak eh..

 Khabarnya next batch ada media nak buat liputan *gi tempah baju segera*

para blogger sekalian (:
anda semua memang terbaik!! love you all


- Keluarga Besar -
semoga perhubungan yang terjalin akan lebih akrab terutamanya dikalangan para suami. yang isteri tak payah nak khuatir, dah tiap hari asyik berceloteh bersama.. lebih dari akrab dah.
* kalau para suami dah mesra, senang kami nak berkumpul.. tak gitu (: *

*gembira sebab majlis yang dirancang berjaya dilaksanakan dan berakhir penuh kemeriahan
* andai terkurang di mana-mana, achik mohon seribu kemaafan

11 April 2012

3 Buku Merah



Kali pertama buat aku dan Eisya. Yang ke-2 buat Ekwan.
Tak sabar nak tunggu Mei 2012

10 April 2012

Approaching 2

Eisya kini adalah mak bedah. Banyak sungguh cakapnya. Tapi cuma dengan ibu dan abah. Kalau dengan orang lain dia super duper pemalu. Dapat dia datang dekat pun dah kira bertuah. Puas lah suruh dia gi salam ke, apa ke.. Takde maknanya dia. Tetap dia menempel tepi ibu abah dia. In nowadays scenario, memang rasa bagus sungguh lah. Anak aku tak layan stranger langsung..

Tapi kalau dah dengan Pak Ngah + Mak Ngah sendiri pun jual mahal, tu menyombong namanya. Puas orang bodek macam-macam, still juga dia tak layan. Tapi sebenarnya kena bagi dia masa. Minimum 1-2 jam, pastu dia ok lah. Siap bila orang tu dah balik tercarik-carik.

And her current favorite quote adalah 'sian chacha' Dia punya nada dan intonasi sangat  mengasyikkan. Sikit-sikit 'sian chacha' Bila pura-pura kata kita demam, nanti dia datang letak tangan kat dahi dan tanya 'bu, mam?' Pastu buatlah muka sememeh dan angguk, terus dia 'sian chacha' Hahaha, ibu demam dia yang kesian. Bila tanya lagi 'napa lak cha yang kesian?' Confident je dia jawab, dengan muka-muka 'sian chacha

Lawak la kamu anak.


Dah pandai memujuk dah sekarang ni. Atau lebih tepat membodek. Kalau marah dia sebab tak nak makan, kata tak boleh tengok BoboiBoy. Nanti mula-mula dia buat muka merajuk. Bila kita tak layan dia, tup tup dia datang peluk. Siap tepuk-tepuk lagi belakang ibu sambil peluk tu. Pastu 'sian chacha' 

Manalah dia belajar ni. Harus dengar budak-budak lain kat nursery sebut ni. 

Lagi 1 perangai yang adakalanya rasa 'alahai gediknya anak aku' Sekarang kalau dia terjatuh ke, terlanggar apa-apa ke, selagi kita tak gi lepuk benda tu, selagi tu dia tak puas hati. Sedangkan sah-sah silap dia, dia yang langgar mainan ke, bantal ke pastu tersadung. Selagi takde orang gi marah bantal tu, selagi tu lah dia tunjuk-tunjuk bantal tu dengan muka tak puas hati dia. Eisya.. Eisya.. Diva sangat lah tu.


Usaha aku untuk tidak membiasakan Eisya dengan makanan segera bolehlah diisytiharkan gagal. Konon dulu niat tak nak anak-anak bila nampak Mc'D, KFC terkinja-kinja. Harapan tinggal harapan je lah. Umur belum pun 2 tahun, nampak signboard iklan Mc'D tepi jalan dah terjerit 'Nakk!!!' Seriau ibu awak dengar. Bila keluar iklan kat tv pun, dari duduk elok atas 'car' terus tuju depan tv 'dapp.. nak'

Ibu ngan abah tak pernah biasakan awak dengan semua ni. Sekali-sekala je kot kita isi perut dengan semua ni. Mana awak kenal semua makanan ni Cha?? Puas ibu perkenalkan nasik setiap hari kat awak.. kenapa tak jatuh cinta dengan nasi?? Kenapa berkenan dengan burger dan ayam Mc'D?? Kenapa Eisya?? Kenapa?? Dan kenapa bila ibu yang konon-kononnya tak nak sampai anak kempunan, belikan lah set Happy Meal untuk anakanda tercinta. Tapi selamba je anakanda yang dikasihi tu buat tak layan. Yang dikejarnya Spongebob. Why Eisya? Why?

Mesti kalau tanya betul-betul depan dia, nanti dia datang peluk ibu dia ni dan cakap 'sian chacha'

Ada lagi 1 perangai dia yang buat aku rasa nak je lepuk dia. Ngada-ngada. Ngada tahap gedik melampau. Manja keledek. Bayangkan lah, botol susu 2 langkah je dari dia. Tapi boleh dia menjerit-jerit, keluar air mata mintak susu. Aduhai.. Darah tinggi ibu awak Cha..

Ikut perangai sape lah tu.. *ibu pandang abah, abah pandang ibu*

Ohhh.. sekarang juga dia sangat risau kalau ibu atau abah tiada depan mata. Tak boleh salah sorang takde. Kena 2-2 ada depan mata dia baru dia lega. Kalau tiba-tiba dia toleh ibu takde, dia menangis punyalah teriak macam kena gigit monyet *melampau deskripsi aku* Bila ibu dah datang, dah peluk dia kuat-kuat pujuk suruh berhenti menangis dan abah bangun masuk bilik air, elok-elok dah stop, dia teriak balik 'abahhhh!!!' OMG!! Sayang bebenor lah tu kat abah ngan ibu. Apa kenalah kamu Eisya.. Tapi aku rasa dia fobia kot. Risau kena tinggal. Tu yang pantang hilang dari pandangan mata, teriak takut kena tinggal.

Eisya.. Eisya.. Kadang terjerit-jerit ibu geram kat awak, tapi bila awak dah tertidur. Sayu lak ibu rasa.

Blogger Birthday Gathering: Ucapan Penghargaan

Teruja. Berbesar hati. Tak sangka, terharu pun iya. Itulah yang aku rasa bila event yang aku anjurkan mendapat penajaan yang pelbagai. Dari wang ringgit hingga ke pelbagai bentuk cenderahati. Terima kasih sangat. Tapi yang paling aku hargai adalah sokongan dan kerjasama kawan-kawan semua. Bila minta tolong, ramai yang tanpa dipaksa, tak perlu dipujuk siap sedia offer diri. Serius, tanpa semua ni tentu majlis kita Sabtu lepas tak akan semeriah apa yang kita rasa tempoh hari.

Terima kasiih banyak, yang tidak terhingga kepada bussinesswomen kita, Puan Miera, yang menaja hampir keseluruhan kos majlis. Semoga kamu sekeluarga akan lebih dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan sentiasa. Dan semoga business lebih maju, pastinya. Ohh, TQ babe sebab sudi luangkan masa hadir ke majlis kita ni walaupun busy ke sana sini jumpa client. Nanti aku antar laporan kewangan eh.. (: -harus miera lepuk aku sebab tak habis-habis buat statement gini- Ohh.. pastinya tak lupa buat Ainul yang menguruskan tempahan kek ni. TQ Ainul. Tanpa kek ni, tak bermaknalah majlis sambutan harijadi anak-anak UB kan.. Apa kes, birthday party tapi xde kek kan..


rainbow kek tajaan Puan Miera, tokei Fareeda kita

Tak lupa kepada Puan Aziyana yang menaja pinggan mangkuk, cawan untuk semua menjamu selera. Walaupun tak dapat hadir dihujung waktu * melepas peluang nak peluk Husna* Terima kasih sangat. Kepada Hany juga. TQ sebab tolong melaksanakan amanah yang Yana berikan. Biarpun penuh bahu kiri kanan bawak pinggan, mangkuk, sudu, cawan segala, sesungguhnya kamu memang AJK yang terbaik. Next batch sila angkat tangan sekali lagi bila bantuan dipinta (:

Majlis juga makin berseri dengan button badge tajaan Tiny Tots Collection yang diuruskan oleh Fiza. Memang seronok la masing-masing bergaya dengan button badge tu. Seronok sangat. Comel sangat button badge tu. Hah, sape-sape yang nak buat kenduri, memang sesuai lah tempah badge gini.

Hot Blogger Mommy Gathering (:

Petang itu kita juga dikejutkan dengan pemberian dari Yaya. Ohh.. bertuahnya rasa. Penuh beg bawak balik macam-macam. Dengan makanan yang ditapau, dengan door gift yang Pja sediakan, pastu dapat pulak 'little gift from A'uf Mikhail' Siap design khas untuk event ni. Giler seronok. Tersengih aku tengok gelagat A'uf bagi hadiah kat kawan-kawan, sweet je dia hulur hadiah sambil kata 'for you..' Berbunga-bunga rasa hati kau. Anak aku pun bukan main seronok banyak coklat depan mata.

Rasa nak tempah, boleh terjah blog Parteeandsuch (:
Harga yang Yaya tawarkan adalah sangat berbaloi.

Takde apa yang dapat aku berikan sebagai tanda betapa aku sangat menghargai segala sumbangan kamu semua ni. Sungguh. Tak ternilai sokongan dan kerjasama yang korang bagi untuk menjayakan majlis kita ni. Jutaan terima kasih aku ucapkan. Sekiranya ada terkurang di mana-mana, maaflah ye. Ni kali pertama achik anjurkan event. Kelam kelibut sikit jadiknya. Ohh.. minta maaf. Beriya achik minta gambar anak-anak UB, tapi sudahnya tertinggal kat opis. Kita guna masa next event ye.

Kalau terkurang layan, kurang borak masa hari kejadian.. Maaf juga. Anak dara achik tiba-tiba semua benda dia takut. Pastu melekat je kat ibu dia ni. 

*1st batch pun masih terasa hangatnya, tapi semua dah tak sabar nak tunggu 2nd batch (:

09 April 2012

Cream Puff - for Alaina's Aqiqah

Alhamdullilah. Terus dimurahkan rezeki. Ada lagi yang sudi menempah Cream Puff hasil air tangan aku untuk majlis mereka. Terima kasih kepada Rinie dan Faizal. Berbesar hati sungguh aku sebab mereka percaya untuk aku sediakan sajian untuk jemputan derang. Walaupun risau tak berdaya nak buat sebab baru balik dari team building, demi kepercayaan dan janji. Aku buat sehabis baik.

Dan ini hasilnya. Biar terpaksa tidur pukul 3 pagi, aku puas hati.

150 pcs custard cream puff untuk Alaina's Aqiqah

Pukul 10 pagi terus bergerak ke Bangi. Tak mahu nanti tetamu dah penuh satu rumah baru cream puff aku muncul. Walaupun bukan menu utama, tak nak lah desert corner tuan rumah incomplete disebabkan cream puff aku. Alhamdullilah, respons yang diterima sangat positif. Semua puas hati. Lega.

*harap-harap akan terus dilimpahi rezeki.. boleh bodek mixer berkuasa tinggi nanti

08 April 2012

Blogger Birthday Gathering: Kisah di sebalik tabir

Pagi tu aku bergerak dari Bangi. Malam sebelum tu aku tidur pukul 4 pagi. Risau gak kalau tak bertenaga nak bergelak ketawa dengan kawan-kawan yang dah lama tak jumpa. Tapi Alhamdullilah, tenaga tu entah dari mana entah muncul. Tengok muka kawan-kawan hilang kot rasa letih badan (:

Aku sampai kat lokasi yang dijanjikan seawal jam 1.15pm. Giler dedikasi. Iyelah, dah namanya organizer, buag tebiat nak datang lambat. Dengan risau kalau gazebo tu tak available. Rezeki kami kot. Masa aku sampai tu adalah 2 cleaner tengah berehat tidur kat situ. Tapi bila nampak aku ngan Ekwan dah bising-bising layan Eisya sambil tiup belon, mereka pun beransur pergi.

Masa tu pun Ainul dah sampai hantar kek dengan tikar.

sediakan stok belon. semput achik jap. budak kecik tu pun sibuk nak tolong ibu dia ikat belon

terima kasih kepada suami saya sebab tolong ikat belon di tiang gazebo. dan paling penting, sudi turut serta dalam event isteri awak ni *luv u*

Sementara Ibu dengan abah tengah busy gantung belon, budak kecik sorang tu seronok buat kerja. Dah la memang dari tadi dia mengeram je ngan kek dalam kotak tu. Bila dapat peluang, pantang. Tak menyabar sungguh dia. Suruh aku cucuk lilin lah, pastu sibuk pegang pisau kek tu. Ke hulu hilir pegang.

hah!! buat apa tu Cha??

Masa awal-awal tu, suasana agak panas ok. Berpeluh-peluh. Ada angin tapi macam tak berasa. Risau aku. Sorry eh kalau kurang selesa. Tapi nasib baik time makan tu, dah berasa angin. Dah petang-petang baru sejuk sikit. Maybe next time kita buat indoor lah. Tapi tak boleh lah nak berpotluck bagai..

Takpe, itu next forum (: