30 June 2014

Bermulanya Ramadhan

Alhamdullilah, semalam berjaya berpuasa walaupun menyusu Elma. Dengan terlambat bangun sahur, sempat minum air masak segelas je. Dapat juga bertahan berpuasa hingga ke berbuka. Dalam hati masa subuh, dah terdetik 'ada aku makan tengahari ni kang'  Tapi dah badan mampu bertahan, teruskan je lah. Tapi punyalah haus tekak. Dahaga sungguh rasa. Iyelah, biasa setiap kali lepas menyusukan Elma mesti aku teguk air 2 cawan. Semalam, menahan je lah. Tengok Eisya minum vitagen pun terliur jadiknya.

Dulu masa Eisya, aku berjaya gak puasa walaupun menyusu Eisya. Tapi waktu tu Eisya dah gi nursery dan dah minum susu formula. Macam tak terasa sangat.

Dan semalam aku mula bottle feeding Elma semula. Nak ajar dia minum frozen EBM. Huhuhu..tetiba dia reject botol kau. Tu lah, lama sangat skip bottle feeding. Memang patut lah dia reject, dah sedap dapat susu direct dari nenen ibu kan. Ni kena hisap puting plastik harus dia tolak-tolak dengan lidah. Mengagau aku ajak Ekwan gi carik puting latex NUK. Berharap sangat dia akan terima NUK latex sepertimana Eisya dulu. Nasib kat USJ Taipan tu ada Fiffy Babystore. Senang, lepas ni terjah situ je.

Malam tadi aku dah thawed siap-siap 2 botol EBM. Guna stok bulan 4. 

Memang kebiasaannya Elma akan bangun dalam pukul 6am. So pagi tadi susukan dia dengan EBM guna puting NUK. Alhamdullilah, Elma memang good girl. Tak nak susahkan hati ibu dia. Dia terima dengan redha walau mulanya berkerut-kerut dahi dia. Tolak-tolak juga dengan lidah, tapi bila aku paksa, sumbat gak..dia hisaplah jugak. Habis lah jugak 2oz tu. Pagi ni bagi fresh EBM. Hari ni nak bottle feeding secara intensif. Direct feeding sekali je lah mungkin. Terpaksa..kalau tak nanti huru-hara. 

elma eiliyah, budak bambam..*gmbr penyeri entry, takde kaitan*

*raya nanti pun kenalah mengepam dan bottle feeding dia. biar dia tak confuse. naik raya je terus keje. hhmm, nak berakhir dah sesi menjadi suri rumah aku

24 June 2014

Elma's 1st Month Custom Album

Untung sungguh. Memang untung budak-budak sekarang. Koleksi gambar melambak-lambak. Kita dulu nak dapat gambar masa kecik, masa baby punyalah susah. Ada sekeping pun jadiklah. Budak-budak sekarang, umur baru seminggu dah masuk studio photoshoot. Elma ni nasib baik tak sempat. Ibu abah macam huru-hara. Takde masa nak memikir nak pegi studio amik gambar anak. Asyik ulang alik klinik check jaundis je kejenya. Niat ada tapi takde masa. 

Aku memang dah berniat, nak buat monthly album untuk Elma. Masa Eisya dulu tak berkesempatan, dapat yearly album je lah. Sekarang kan banyak promo jual voucher photobook murah-murah. RM10 pun dah dapat sebuah photobook sampai 36 muka surat. Untung kan.. Kesempatan harus dimanfaatkan. Rugi weh, orang dah bagi, grab je. Mana nak dapat photobook murah gitu, takde promotion RM69 okay harga photobook tu.

6 x 6 Mini Square Softcover Photobook dari Photobook Malaysia

Sangat berbaloi. Dengan hanya RM18 (RM10 harga buku dan RM8 caj postage) dapat sebuah album gambar yang sangat cantik begini. Cuma kena luangkan sedikit masa untuk design album tu. Software dia pun senang sangat nak guna. Template dah tersedia. Cuma tengah drag dan masukkan gambar je. Pastu gunakan kreativiti untuk lawakan template tu. Kalau tak kreatif atau kurang rajin macam aku, biarkan aje background dia putih, kosong. Lagi lawa kot. Ikut citarasa masing-masing lah.

aku suka material dia yang gunakan Paper 190gsm Photo Lustre Paper

Rajin-rajinkan lah jenguk promotion dari Photobook Malaysia kat Groupon, MyDeal atau LivingSocial. Selalu je ada promotion dari diaorang. Dan selalunya voucher-voucher tu valid dalam masa 6 bulan. Lama kan, Photobook sangat memahami korang ni kan semua busy, sangat kekurangan masa. So dia bagi masa 1 page seminggu untuk korang hadap. Hahaha..kalau tak siap gak tak tahu lah. Tapi jangan risau lah, sehari hadap je siap dah album ni. Kan aku dah kata, software dia sangat mudah digunakan.

So selamat membuat album. Gi carik dan kumpul gambar. Ke nak amik gambar baru? Fresh look for new album? Boleh lah amik gambar studio macam aku buat ni. Tu lain kali aku citer eh..

*patut ni album Elma @ 1 month, tapi aku macam confuse sebab masa photoshoot dia baru je masuk 2 bulan. tu yg buat album 2 bulan..xpe, next album aku buat 2 bulan jugak. yg ni pandai-pandailah aku edit nanti..hehehe, gunakan teknologi yg ada.

Sesi Riadah: Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

Sejak Ekwan bern iaga ni, masa memang sangat suntuk kami anak beranak beriadah macam dulu. Kalau dulu, weekend je..bersusun jadual aktiviti aku rancang. Ekwan rajin je melayan anak bini dia, rajin bawak kitaorang berjalan-jalan. Anak bini tak boleh duduk diam kat rumah kononnya. Tapi bila Ekwan kena keje jugak waktu weekend, redha lah kami anak beranak. Belajarlah duduk diam-diam kat rumah. Tapi alhamdullilah, Ekwan masih faham dan kesian kat kitaorang, at least sehari mesti bawak kitaorang keluar. Paling tidak pun, shopping grocery kat Mydin. Jadiklah..

Aku kesiankan Eisya je. Dah lah seminggu kat nursery pun terkurung. Nursery dia kan takde outdoor palyground, tak kan weekend pun nak terkurung dalam rumah pulak. Kenalah bawak dia keluar sekejap. Bagi dia berlari-lari kejap. So 2 minggu lepas, terfikir nak bawak dia ke library. Dia kan suka suruh aku bacakan buku. Tapi kalau kat rumah ni aku macam malas sikit. Hehehe, malas sebab macam-macam nak kena buat kat rumah ni, dengan Elma lagi. So aku layan dia pun nak tak nak je. Pastu mulalah kesian. Tu yang nak bawak dia ke tempat yang memang aku boleh concentrate kat dia je.

Lama dah terfikir nak ke library ni. Sebab macam menarik. Decoration librray tu sangat lawa, memang menarik minat budak-budak nak ke library.Dekat pun dekat, kat Seksyen 13, Shah Alam tu je. Bila bagitahu kat Eisya pagi tu nak gi library, bukan main suka lagi dia. Sepanjang perjalanan tu asyiklah tanya 'kita dah sampai ke ibu?' Tak menyabar. Teruja. Entah tahu entah tidak macamana rupa library. Tapi sebelum tu aku dah tunjuklah gambar library tu kat dia. Excited tengok gambar pokok besar, boleh main-main kat bawah pokok tu.

Bila sampai, memang tak menyabar. Bukak kasut terus berlari, tinggal ibu terus. Terus serbu replika pokok ni, pastu kembur rak buku.

ibu baca buku sorang-sorang lah, Eisya kejenya lambakkan buku kat ibu pastu dia berlari-lari. baru selak ajak dia baca, dia lari semula.

Sudut Kreatif kat Perpustakaan Raja Tun Uda ni memang sesuai lah untuk bawak anak-anak beriadah secara percuma. Nak pergi indoor playground waktu weekend, boleh tahan bayaran kan. So kat sini, bolehlah bermain, walaupun sekadar berlari-lari dan buat bising. Budak, apa ada dia kesah. Penat kang, pandailah duduk sebelah kita suruh bacakan buku.

daddy's girl. 

ni sape bacakan buku kat sape ni? abah bacakan ke Cha ke Cha yang bacakan buku untuk abah?

aksi ni berlaku tak sampai seminit, baru nak bukak muka surat pertama Eisya dah lari gi amik buku lain. rambang mata budak ni, tahulah buku melambak-lambak.

Facilities kat library ni memang 1st class. Semua equipment dia best, kerusi meja semua berkualiti. Tapi sayang, item yang paling penting, buku-buku tu yang macam tak terjaga. Buku banyak tapi banyak yang koyak. Pastu bercampur-campur. Staff pun tak larat  kot asyik nak kemas je. Budak yang tukang menyepah ramai. Suruh letak buku kat rak semula pun tak nak. Kenalah mak ayah yang kemas. 

Secara keseluruhan, tempat ni memang sesuai untuk anak-anak kita. Kenalkan library dari kecik, jangan nak gi indoor playground je tahu. Sesuai sangat untuk kita luangkan masa ngan anak-anak dengan kaedah yang lebih menjimatkan. Tak payah asyik nak gi malls je, gi library sudah.

23 June 2014

Elma's 2 month check up

Aku memang tak niat pun nak bawak Elma check up dan amik vaccine kat klinik swasta. Aku lagi suka gi klinik kesihatan, gunakan kemudahan yang kerajaan dah sediakan. Selain free, aku rasa checkup klinik kesihatan lagi details. Tapi satu lah, seperti biasa silalah hadap segala kerenah prosedur derang dan siap sedia untuk habiskan masa separuh hari kat klinik. Masa Eisya, memang check-up gomen je dari sebulan sampai lah dia 2 tahun. So Elma pun aku planned benda yang sama.

Pagi-pagi lagi kitaorang keluar *tak pagi sgt lah, kul 8.30am gak baru keluar* Klinik Kesihatan Ibu & Anak Batu14, Puchong kami tuju. KKIA ni yang paling hampir dengan rumah. Pergi tanpa appointment sebab aku merasakan tak perlu. Bila sampai, klinik penuh sampaikan tak cukup tempat duduk. Aku gi kaunter menyatakan tujuan aku datang. Bila kata aku duduk USJ 1, terus nurse tu kata 'puan kena gi KK Taman Medan puan, kami tak cover area usj 1' Puas aku kata USJ 1 sebelah ni je. Lagi dekat berbanding kalau aku nk ke Taman Medan. Tapi beriya nurse tu kata tak boleh, aku redha je lah. Nasib dia cakap baik-baik dan senyum. Terubat gak kecewa aku.

Try lah call KK Taman Medan, ohh yang ni menyakitkan hati. Walau dalam telefon pun, geram aku. Dengan kereknya kata 'kena buat appointment dulu puan, nape tak buat awal-awal?' Takde sape pun bagitau. Masa aku bawak Eisya, walk-in je ke KK. Bila kata 'so macamana ni? Nak kena dtg amik appointment ke? Bagi thru phone je boleh tak?' Dengan suara nak tak nak dia jawab 'puan datang je lah pukul 1.30..baby dah 2 bln, kena lah cucuk hari ni' Hhmm, mana ada masa nak tunggu sampai ke tengahari. Ekwan keje. Maka, nak tak nak 'gi klinik private je lah yang'

Maka ke USJ Taipan lah kami anak beranak. Pusing-pusing jumpa 1 Klinik Pakar Kanak-Kanak. Huhu, seram gak nak masuk sebenarnya. Pakar kau..entah bape caj dia nanti. Tapi..masuk je lah. Tak cukup cash, kita swipe kad kredit abah. Hehehe. Ibu takde kad kredit.

Klinik lawa, orang tak ramai. Doktor pun ada 2 orang. Eisya pulak yang seronok bermain. Sampai menangis-nangis bila nak balik.


Dia pulak yang terlebih seronok main dalam klinik. Eisya, ni bukan indoor playground ye

Sementara tunggu giliran. Ini perkara wajib. Nasib laki aku rajin layan.

 
Melompat-lompat girang bukan main. Kejap lagi nak kena cucuk peha dik, jangan lah happy sangat.

Everything is normal for Elma. Dia sehat. Aku risau sikit ngan breathing dia, bunyi nafas dia agak kuat. Tapi Dr. Liew tu kata nothing to worry as Elma takde batuk, tak muntah-muntah. Dia check paru-paru pun normal katanya. Bila ngadu Elma tak berak dah hampir 2 minggu, sekali lagi dia kata 'takde apalah..u breastfeeding kan, just wait' Rileks je doktor ni kan. Ke mak-mak sekarang yang paranoid terlebih? Sambil-sambil sembang dia boleh cucuk peha Elma. Tak bagitau aku pun. Tiba-tiba menangis je Elma. Pastu dia dukung pujuk-pujuk Elma. Huhuhu... Tua dah doktor ni, bapak-bapak sangat gayanya.

oh..this is so cute. KKIA kena guna sticker ni lah, tak lah tempek dengan kapas dan soletap susah nak tanggalkan tu lagi.

Tiba-tiba rasa nak check-up Elma setiap bulan kat sini je. Huhuhu..boleh datang malam-malam. Doktor pun ok, nurse OK. Tapi bila tengok bil, oklah...kita check kat KK Tanglin je lah ye dik. Manfaatkan vaccine free yang kerajaan dah sediakan. Kita datang jumpa Dr Liew amik extra vaccine je lah eh.. Anyway, currently Elma is 5.2kg. Naik 800gm dari bulan lepas. Dr. Liew kata maybe boleh demam, tapi alhamdullilah. Elma is a strong girl.

My lovely 2 month 'young' daughter. Love you.

20 June 2014

Elma dah 2 bulan

Oh hoi..dah 2 bulan usia Elma. Sangat pantas. Jangan cepat sangat membesar dik, ibu tal puas gomol awak. Lagipun, bila awak makin membesar, makin dekat lah dengan tempoh berakhirnya cuti-cuti, bersenang lenang ibu ini. Elma dah 2 bulan. Dah 5.2 kg. Makin tembam, makin berisi. Dah pandai memberi respon bila ibu, abah atau kakak ajak borak. Senyum je bila orang tegur lagi-lagi bila bangun pagi. 

budak 2 bulan yang 'happy..happy...happy' 

mitten tetap kena pakai, kalau tak bercalar balar lah muka. suka bebenor gosok muka dia ni.

Alhamdullilah, Elma membesar dengan sehat. Tapi Elma sama macam Eisya, kulit sensitif sungguh. Kena gigit nyamuk/semut sikit mesti berbekas hitam. Maka kenalah aku merajinkan diri, setiap pagi dan malam kena sapu dan vacuum rumah. Eisya dah lah suka makan biskut bersepah-sepah. Yang jadik mangsa, adik.

baju ni beli masa Elma dalam perut, di mana dia dijangkakan lelaki. cute jugak baby girl pakai jumper design boy. Anak aku kalau lelaki, gini kot rupanya. 


Ibu

Sebenarnya aku tak sangka akan bahasakan diri sebagai 'ibu' kat anak-anak. Masa pregnantkan Eisya, beriya borak ngan dia bahasakan diri 'mommy' Hahaha, moden habislah konon. Ekwan dah beriya mengejek aku. Dia kata aku sorang je mommy jangan nak libatkan dia panggil daddy. Dia tetap nak anak panggil dia 'abah', the way dia panggil areah ayah dia. Memang agak jaranglah kan orang gunakan ibu. Mostly 'mama' Tak pun 'mommy' Tapi entah macamana entah, bila Eisya lahir trus terbahasakan diri 'ibu'

Ekwan kot yang mulakan..dia yang panggil aku ibu. Bila dengar rasa macam 'alahai, lembutnya bunyi' Terus rasa nak anak panggil aku 'ibu' Dan bila aku bahasakan dia 'ibu' ke Eisya dulu, rasa sesuai. Macam kena dengan diri ni. Chewah...dan terus melekat.

Teringat dulu bukan main susah Eisya nak panggil aku 'ibu' Dah 3 tahun kot baru dia dapay panggil aku ibu betul-betul. Kalau tidak asyik lah 'abu' Jeles betul dengan Ekwan sebab Eisya boleh sebut abah dengan jelas, cepat lak tu. Harap-harap Elma taklah begitu.

Anak-anak Ibu

18 June 2014

My Double E

Dua kesayangan ibu. Dunia akhirat. Selama-lamanya. Eisya Elyssa dan Elma Eiliyah Mohd Ekwan. Puteri pujaan hati. Walau ada masa, yang sulung tu mencabar kesabaran. Kebanyakan masa, dia mencuit hati.

Eisya sayang kat Elma, memang sikit-sikit 'adik...adik..' Tapi biasalah, orang lama jadik anak tunggal, dia tak sabar nak main ngan adik, so memang seriau bila tengok dia bergurau senda ngan Elma.

2 orang budak yang copy paste muka aku. Bila tengok gambar ni Eisya kata 'alah ibu, adik buat muka marah..tak ketawa macam chacha


17 June 2014

Mother's Obsession No.1

Menjadi perempuan je dah bermacam nafsu, ditambah pulak menjadi ibu. Memang makin menjadi-jadi lah senarai keinginan. Kalau dulu, list untuk anak je. Dah jadik ibu, ada lah list anak pulak. Anak 1, ada 2 list. List anak, list ibu, Bila anak bertambah, list pun bertambah. Itulah hakikatnya diri aku sekarang. Macam-macam aku terasa nak belikan untuk anak-anak. Pantang nampak, asal kenan dan kena dengan bajet..esok-esok muncul lah budak poslaju kat pintu rumah. Agak mengila lah aku membeli untuk budak 2 orang ni. Sawan shopping makin mengila.

Paling aku giler membeli... Baju. Bulan ni je entah berapa dah aku habis beli baju Eisya ngan Elma. Malas nak kira sebab nanti sendiri terkejut. Terkejut tapi tak insaf. Hahahaha...

Paling kemaruk hari tu beli direct dari UK. Tak agak-agak ok..baju anak-anak imported bagai, baju ibu beli kat Poplook je. Tu pun berkira-kira ibu nak check out cart tau. Baju korang selamba je ibu check out walau total beratus. Betapa sayangnya ibu kat anak-anak. Tak habis memborong kat Carter ngan Oshkosh, ibu sambung pulak kat JPO. Selepas di JPO ibu insaf sikit sebab tiba-tiba tersedar 'beli baju banyak-banyak tapi takde tempat nak simpan, camne?' Dengan pantas ajak abah ke IKEA. Geliga kan otak ibu korang.

Bukannya insaf berhenti membeli..hahaha. Maaflah ye, otak aku memang ligat bab-bab begini. Otak seorang perempuan bergelar ibu kan..

bila dah disusun setempat. huhuhu, baru sedar banyaknya baju anak-anak aku. ni pun ada yang tak masuk lagi ni. tapi aku tetap macam tak berhenti nak membeli.

Semua gara-gara follow terlalu banyak online shop kat Instagram tu. Pastu setiap hari mesti membelek handphone hadap update Instagram. Memang tak keruan lah aku dibuatnya kan. Ada je yang berkenan. Tapi untuk Elma memang kena beli baju size 6 bulan ke bawah untuk dia. Tak banyak yang boleh diwarisi dari Eisya. Masa Eisya kitaorang tak banyak membeli. Banyak pakai yang orang bagi. Dan aku tak sampai hati nak pakaikan ke Elma pulak. Baju-baju tu pun dah nampak kusam. Bagilah Elma merasa barang baru. Rezeki dia. 

Sekarang ni shopping kat InstaShop je lah. Macam lagi best, lagi senang. Search je barang apa yang dicari, melambak-lambak seller yang muncul. Nanti aku review InstaShop yang aku berurus niaga eh..

*tajuk mother's obsession no.1..maknanya banyak lah lagi kegilaan yg lain.


16 June 2014

Nescafe Smoovatte

Aku rasa tahap mengidam aku adalah lagi dasyat sekarang ni berbanding semasa mengandung dulu. Masa pregnant dulu takdelah teringin macam-macam. Kalau rasa teringin pun takdelah sampai rasa nak sangat-sangat, kalau tak dapat pun takpe. Tapi lepas habis pantang ni, macam-macam aku teringin. Tekak teringin itu ini. Dahlah duduk rumah asyik hadap TV je kan. Asal iklan barang makan, mulalah tekak aku teringin. Ekwan kata aku ngada-ngada mengalahkan Eisya. Hahaha...tapi memang iye pun.

Alahh.. Eisya dia ngada-ngada, kuar ayat 'abah, nak ni' time iklan legoland je. Aku time iklan ice cream magnum, iklan nescafe caramel latte, time iklan subway semua aku kuarkan bunyi 'yang, nak ni...esok awak belikan eh...' Hahaha..memang tak kuasa ekwan nak melayan. Aku pun saja-saja cuba nasib bermanja, mana tahu murah rezeki permintaan dilayan.

Tapi paling aku teringin Nescafe Smoovlatte tu kot. Dari dalam pantang bila tengok iklan dia terasa-rasa lalu kat tekak. Macam sangat sedap je coffee susu dia tu. Terigin sangat. Berkali pesan minta ekwan belikan tapi pakcik tu asyiklah lupa. Lagi aku frust bila dia kata dia dah minum smoovlatte tu...rasa macam kempunan okay. Beriya buat muka sedih. Agaknya dia kesian tengok muka kempunan aku, beriya teringin malam tu dia belikan. Katanya sampai 3 7eleven dia masuk carik nescafe smoovlatte tu. Sayang pun kat bini.

Memang lazat wehh air kopi susu ni. Tak cukup sebotol. 1 botol ni 190ml je kau. Botol dah lah kecik, pastu tak penuh pulak. Kalau minum time haus, tengah panas.. 2 kali teguk je kot. Sebab aku minum kat umah, dalam suhu rumah yang dah disejukkan aircond sambil tengok tv, dapatlah aku nikmati rasa dia betul-betul. Sedap memang sedap tapi tak cukup sebotol lah.. 

Harga boleh tahan mahal. Sebotol kecik ni, RM3++ 

Cukuplah dapat merasa. Lagipun, aku kan breastfeeding mana boleh minum kopi sangat. Kira ni orang kata jangan sampai kempunan, sekadar merasa. Dah dapat sebotol ni termakbul lah permintaan tekak. Terima kasih kepada suami tercinta sebab tunaikan keinginan saya.

*tetiba rasa 'eh ko dayu, air kopi pun nak citer ke?? hahaha..

13 June 2014

PooPoo

Hahaha...jadik Mak ni, macam-macam benda nak kena pikir. Semua benda. Sampaikan hal perkumuhan anak pun kena pikir. Bila anak tak membuang lama sikit mulalah runsing.

Sehingga hari ni, 13/6/14...dah 8 hari Elma tak berak. Last dia berak khamis lepas, tu pun lepas aku urut-urut perut ngan betis dia. Banyak dia berak lepas tu takde dah. Kencing je banyak. Tapi sebabkan dia menyusu susu ibu sepenuhnya, aku tahu tu normal. Tapi..tapi ni dah lebih seminggu ni. Masih normal ke?
Masa Eisya dulu, pun sama. Di waktu umur lebih kurang Elma ni lah. Tak berak 5 hari kot, aku ngan Ekwan bawak gi klinik. Biasalah 1st time, cuak lah. Walaupun dia OK je, perut tak kembung, menyusu macam biasa. Masa tu kat kampung. Bawak gi klinik doktor masukkan ubat berak. Hah kau...tak sempat sampai rumah, melambak dia membuang. Sampai tembus-tembus baju. Baju aku pun merasa sekali.

Bila browse kat forum, ada yang kata anak dia tak berak sampai 3 minggu. Fuyoo!!! Kalau aku dah tak keruan kot. Ni pun aku tak tau nak tunggu berapa lama. Paling lama 2 minggu kot. Tak berak gak, klinik lah kita ye Elma. Baik awak berak secara normal dik, tak yah nak paksa-paksa. Cukuplah nak lahirkan awak pun kena guna ubat, takkan berak pun nak kena ubat.

rileks je dia. tidur malam lena. bangun pagi tersengih-sengih macam biasa.

Memandangkan segalanya normal. Perut tak keras, menyusu masih seperti biasa dan dia kerap juga kentut. Aku anggap semuanya masih normal. Bila baby kentut tu tandanya usus dia dalam keadaan normal. Dia tak sembelitlah maksudnya tu. Mungkin ada kaitan dengan pemakanan aku. Minggu ni kurang makan sayur dan buah. Air masak banyaklah jugak. Mungkin...mungkin. So nak try lebihkan sayur ngan buah 2,3 hari ni. Harap-harap berak lah anak aku. Sementara tu aku buat lah juga urutan kaki ngan perut tu.

*dalam masa yg sama cuak je kalau tiba-tiba dia berak secara melimpah ruah

Surirumah katanya

Sementara pegang jawatan Suri Rumah sepenuh masa ni, sementara ada masa dari pagi hingga malam kat rumah. 24 jam kat rumah, aku ada masa yang sangat panjang. Tapi macam tak panjang mana pun, tup tup dah pukul 12. Sangat cepat masa berlalu okay kalau duduk rumah, rasanya kalau kat opis takdelah cepat sangat macam ni. Nak tunggu lunch tu, berkali-kali gak aku tengok jam. Duduk rumah ' eh, dah zohor' 

Setiap hari, kehidupan aku bermula jam 6am. Kejut Ekwan gi keje, siapkan Eisya. Layan ragam dia pagi-pagi hari, dengan tak nak mandi, merengek tak nak gi school. Macam-macam..pukul 7 derang keluar rumah, aku hadap Elma pulak. Nasib Elma jenis yang senang jaga, lepas mandi dia tidur semula. Sementara dia tidur lah aku berkejar-kejar mandi, sarapan. Sambil-sambil tu campak baju dalam mesin.. lepas breakfast terus prepare untuk masak lunch. Kena manfaatkan segala masa yang ada sementara Elma tidur.

Memang takdelah nak golek-golek join Elma tidur, walaupun mata memang nak katup sebenarnya. 

Ada je keje nak buat. Ja ik perempuan ni mata bukan boleh tengok rumah sepah-sepah,kalau time keje dulu bolehlah buat tak nampak je sebab memang tak sempat sangat nak mengemas. Ni ada masa ni, rajinlah aku vacuum rumah hampir setiap hari. Yelah, ada Elma kan, tak nak lah rumah berhabuk, lantai kotor semua. Ni pun aku hangin je tengok tangan ngan kaki dia ada bekas kena gigit semut/nyamuk. Terus capai vacuum ngan mop. Puas hati okay tengok lantai berkilat.

Dan lagi satu yang best, boleh main masak-masak dengan tenang. Boleh buat minum petang. Laki ngan anak balik, ada je minum petang untuk derang. Bahagia memang bahagia, tapi sebulan 2 bolehlah kot. Lama-lama aku tak boleh rasanya, sebab aku pasti bosan. Ni pun tak menyabar tunggu weekend, macam-macam aku plan, macamkan Ekwan ada masa nak melayan. Takpe, tak dapat lama sekejap pun jadiklah. Asalkan aku keluar dari rumah ni. Bawak aku gi shopping grocery pun cukup. 

*duduk rumah pun duit laju je keluar, ada je barang sampai..huhuhu
*cuti tinggal sebulan lebih je lagi. nikmati puas-puas

11 June 2014

Bottle Feeding

Siap sedialah. Blog ini akan kembali bercerita hal penyusuan. Entry berkaitan breastfeeding, akan kembali menghiasi blog ini. Aku dah kembali ke rutin tu semula, blog pun ikut serta sama lah. Biasalah, blog mak-mak, itu je lah kisahnya. Dahlah tak keje lagi, duduk rumah hadap anak je. Maka, kisah anak je lah sebulan 2 ni. Bertabahlah ye.

Iye, aku dah mula train Elma menyusu gunakan botol. Baru je pun, baru start semalam. Sebab masa dengar ceramah penyususan susu ibu kat PPUM dulu, nurse tu kata untuk mengelakkan rejection, masa paling sesuai nak kenalkan botol kepada baby adalah ketika dia berusia sebulan. Kalau awal dari tu, dikhuatiri dia akan alami nipple confusion, kalau lewat sangat nanti dia reject. Risau baby dah terlalu selesa menyusu secara direct feeding. Maka, agak cuaklah jugak semalam masa nak bagi Elma susu guna botol. But alhamdullilah, dia terima dengan sangat baik. Hisap puting botol tu dengan penuh keselesaan, awal-awal je lah dia macam pelik, rasa-rasa dengan lidah.

For the start aku bagi 2 kali je sehari. Pagi sekali, petang sekali. 2oz per feeding. Tapi nampak gaya 20z tu tak mencukupi. Huhuhu..almost semua stock EBM aku buat 3.5oz per pack. Nampak gaya ke buat 4oz lah lepas ni. Lagipun masa EBM tu bakal digunakan dia dah 3 bulan lebih, mesti lagi banyak dia menyusu nanti. Kena kerja keras ni.

kusyuk hisap puting. alhamdullilah, usaha dipermudahkan, tak perlu drama air mata. teringat time Eisya dulu, meraung-raung. Tapi time tu aku guna puting biasa je. Leart from a previous lesson, cariklah puting yang ala-ala nipple ibu siap-siap.

Aku gunakan bottle dan puting MAM. Beli masa baby expo. Mulanya nak guna NUK, as masa Eisya NUK yang berjaya buat dia terima botol susu. Tapi sebab dah beli MAM, 2 bijik lak tu. Silalah guna. Nasib baik Elma suka. Ibu pun gembira, takdelah rasa salah. Bolehlah lepas ni ibu browse Instagram carik botol susu Elma. Hahaha..matilah, asyik nak shopping je mak budak sorang ni. Tapi design cute-cute weh, yang jual kat Sogo design simple sangat. Hahaha..biaslah mak-mak, reason membeli adakalanya entah pape *peace*

As a start, minggu ni aku kenalkan Elma dengan fresh EBM dan chill EBM je. maybe next week boleh kenalkan dia apa itu frozen EBM. Dengan harapan nanti bila dah duduk nursery takdelah tekak dia terkejut sangat. Dan takdelah kisah anak reject frozen EBM. Insya Allah.

*tapi bab nak thaw chilled EBM memang malas lah

Elma Eiliyah - 7 weeks

Hari ni Elma berusia 52 hari. Dah sebulan lebih. Alhamdullilah, Elma memang seorang anak yang baik. Malah sangat baik. Dia anak yang mudah dijaga, tak banyak buat perangai. Sangat memahami ibu dia ni. Dari dalam pantang hingga ke hari ni. Syukur sangat. Siang hari dia tidur je. Setiap pagi lepas mandi, lepas susukan dia mesti dia tidur semula. Tidur hampir sepanjang hari. Hanya bangun minta susu, pastu ulit-ulit sikit tidur semula lah dia. Tu yang selalu missed mandi petang. Kalau tak dikejut, mmg smpai maghrib lah dia tidur.

Mulanya cuak gak aku bila dia tidur je sepanjang hari, malam pun tidur lagi. Tak nak lah kang tengah malam dia berjaga. Jadik burung hantu aku kang. Tapi alhmdullilah, selalunya dalam pukul 10pm dia akan berjaga sampai pukul 12. Pastu lepas puas menyusu, lenalah dia. Tu sesi bermain dia mungkin. Time tu je lah pun nak hadap abah ngan kakak dia. Tengah malam dia bangun 2 kali. Setiap malam pukul 3am dan 6am. Punctual sungguh.

Sesekali tu ada jugak dia meragam. Tapi jarang sangat. Kalau tak sedap perut, memang, memang resah gelisah lah dia. Memang tak tido lah dia selagi angin tak kurang. Hari tu aku makan kangkung. Lupa tu sayur berangin. Puaslah urut-urut betis, gosok perut..lepas kentut-kentut, dapatlah dia tutup mata. Menyusu badan ni kenalah berkorban sikit tekak ni. Takpe, demi anak. 

Memang rasa bertuah sungguh. Harap Elma akan berterusan menjadi anak yang baik kelakuannya. Boleh ibu rehat-rehat, taklah terkejar-kejar buat keje rumah.


selalu macam ni, lepas menyusu je mesti termenung sampai berkerut dahi. pemikir sangat dia ni

Paling aku suka adalah sesi sebelum mandi setiap pagi, lepas dia bangun. Masa paling ceria dalam sehari. Tersenyum-senyum bila diajak berborak. Suka betul dia bila aku main-main dagu dia, usap-usap pipi dia. Melting okay bila tengok anak tersengih-sengih bagaikan faham je apa yang ibu dia ni borakkan. Ohh, sesi bermain air setiap pagi adalah sangat menyeronokkan. Tak pernah menangis time mandi. Mandi air suam kot, apa nak dinangiskan. Kalau Eisya dulu, 3 bulan gak mandi air suam. Pastu air biasa je.

Elma juga sangat mudah kalau dibawak keluar, cuma pastikan dia mendapat susu yang cukup. Diam lah dia dalam stroller tu. Termenung seperti biasa, tapi aku macam kesian kat dia. Kalau bawak keluar sekejap, gi shopping grocery kat Mydin pun dia nampak macam letih je. Kenalah kurangkan bawak dia keluar lama-lama. Elma suka duduk rumah. Sama macam Eisya dulu.

*Elma tak setembam Eisya dulu


05 June 2014

Suri rumah katanya

Merasalah jadik suri rumah sekejap. Sementara masih on maternity leave ni kan. Seronok mmg seronok. Banyak masa nak membelek rumah. Boleh main masak-masak. Elma pun baik je. Selalunya siang-siang dia tidur lena. Sempatlah aku nak memasak 1,2 lauk. Alah, aku ada banyak masa kan.. Bukan kena berkejar-kejar macam selalu. Tiap hari, bangun je pagi otak dah ligat memikir, apa nak masak. Mulalah bukak balik buku resepi chef hanieliza 1 hari 1 resipi tu. Carik idea. Muak gak kalau asyik ulang menu sama je kan. Hari ni masak ikan, semalam dah makan ayam.

Ikan Tiga Rasa. *rupa tidak menarik sebab ketiadaan daun bawang nak buat hiasan*

Sebab aku macam banyak masa, aku bagi resipi sekali. Bukan setakat gambar.

Bahan-bahan:
- ikan *aku guna ikan selar je
- tepung jagung (untuk salut ikan)
- bawang merah (hiris)
- bawang Putih (hiris)
- 2 inci halia (hiris)
- cili merah (hiris)
- sos cili, tomato, sos tiram

Cara memasak:
1. Salut ikan dengan tepung jagung dan sedikit garam. Goreng dalam minyak yang banyak sehingga masak dan kekuningan. Angkat dan ketepikan.
2. Tumis bahan yang dihiris hingga wangi.
3. Masukkan sos cili, tomato dan sos tiram. Masukkan sedikit air dan gula. Kacau dan biarkan mendidih.
4. Curahkan sos di atas ikan. Boleh dihias dengan daun bawang, cili merah dan tomato.

Senang je kan. Kalau nak masak ikan masam manis pun lebih kurang gini gak resipinya. Tambah nenas je skit. Tinggal malas dengan rajin je. Dah duduk rumah macam aku ni kena lah rajin kan.

*selak buku list down menu berbuka puasa..hahaha, giler advance

04 June 2014

Kelahiran Elma Eiliyah

Dah 6minggu usia Elma. Masih jelas dan terbayang-bayang keadaan dalam labor room. Terbayang lagi muka doktor-doktor yang menyambut kelahiran Elma. Alhamdullilah keinginan untuk diurus oleh doktor perempuan ketika di labor room termakbul. Comel doktor-doktor siswazah tu. Teringat-ingat lagi camne aku genggam besi katil sekuat hati menahan sakit contraction sorang diri dalam bilik induction tu. Mustahil lah boleh lupa. Jangan kata 6 minggu, 6 tahun akan datang pun aku akan ingat.

Elma dilahirkan secara induced semasa genap kandungan 40 minggu. Erti kata lainnya, kelahiran yang dipaksa. Bukan natural labor. Tak merasa aku natural labor. Masa Eisya pun induced sebab dah 40minggu 10 hari pun dia tak nak keluar. Dalam kes Elma sebab aku ada kencing manis. Nak tak nak memang kena bersalin masa 40weeks, takut ada komplikasi lain. Aku redha je. Terima je apa doktor decided. Maka 17/4/14, menyerahlah diri ke PPUM. Ikutkan doktor suruh datang pukul 7am, tapi pukul 9 baru aku sampai PPUM. Yelah, nak uruskan Eisya dulu pagi tu. Sudahnya pukul 10 lebih baru masuk wad dan pukul 3pm baru doktor masukkan ubat dos pertama.

rutin setiap 2 jam. bacaan jantung baby semua okay. cuma kurang bergerak je, Elma dalam perut siang-siang memang kurang bergerak, dia aktif waktu malam

tersedia. menanti untuk dimasukkan 

makanan sedap terakhir aku sebelum melahirkan dan berpantang. nasi ayam. ikutkan aku minta ekwan belikan nasi campur lauk asam pedas, tapi lauk kat cafe PPUM dah habis, nasi ayam pun jadiklah.

Doktor kata takde bukaan lagi even 1cm. 2nd dos akan dimasukkan selepas 6 jam. Sepanjang petang tu aku tak rasa sakit langsung. Aku masih boleh ber'whatsapp sambil gelak-gelak. CTG pun ok je. Orang katil sebelah aku, tak sampai 2 jam masuk ubat dah kena tolak masuk labor room. Sedangkan dia anak pertama tu. Tinggal lah aku sorang-sorang dalam bilik tu menunggu rasa contraction menjengah tapi sampai ke sudah tak muncul. Malam tu aku tunggu doktor datang nak masuk ubat, tapi tak datang-datang. Nurse kata memang selalu doktor tak masukkan ubat mlm.

Aku tutup lampu dan cuba untuk tidur. Tapi tak berjaya. Sibuk main whatsapp ngan kawan-kawan. Tapi mengenangkan kemungkinan aku beranak pagi-pagi esok aku paksalah diri tidur. Dalam pukul 11 malam aku mula terasa sakit contraction. Tak kuat dan tak kerap. OK, aku dah siap sedia. Rasanya aku terlelap sekejap. Recharge tenaga skit. Pukul 12 lebih aku tersedar. Contraction dah makin kerap. Aku call Ekwan suruh dia datang hospital. Aku yakin aku beranak malam ni jugak. Aku picit button panggil nurse. Aku bagitau contraction dah 5minit sekali tapi tak kuat. Dia kata dia akan panggil doktor. Aku gi buang air, tengok darah melambak dalam toilet bowl. Maknanya aku turun darah dulu kali ni. Masa Eisya, pecah air ketuban dulu. Mulalah teringat kisah kawan-kawan yang kata kalau darah keluar dulu, jalan lambat bukak. Seram tetiba.

Keluar bilik air aku baring mengiring ke kiri atas katil. Contraction makin kuat. Kerut-kerut muka aku menahan sakit. Aku cuba praktikkan bernafas ikut hidung hembus ikut mulut. Tak pastilah berkesan ke tak, yang pasti contraction makin kuat. Aku call Ekwan, bagitau aku dah sakit sangat dan bleh beranak bila-bila je. Sambil menahan contraction aku minta maaf siap-siap. Aku cuba bertahan, layankan sakit contraction tu. Sambil tak henti-henti baca doa mudah bersalin tu. Tapi bila dah tak tahan sangat aku tekan lagi button. Nurse check jalan, dia kata baru 3cm. Aku mengharapkan akan dihantar ke labor room sebab aku macam dah boleh rasa kepala baby dah kat bawah. Tapi tak..nurse suruh tunggu doktor. Tak lama doktor datang pulak. Check still 3cm. Labor room disediakan tapi aku masih kat wad. Arrghhh, contraction makin menganas. Tak dapat nak bayang. Siapa dah merasa tahulah mcamana rasa dia. Sakit paling sakit dalam dunia.

Satu tahap aku dah tak boleh tahan. Bila contract je aku rasa nak teran sangat-sangat dah. Walaupun nurse dok kata 'jangan teran dulu puan, jalan tak bukak lagi nanti kepala baby bengkak' Aku rasa mcm nk lepuk je nurse tu. Mustahil kot nak tahan. Aku dah cuba, tak boleh. Aku tekan button lg. Tak mahu aku beranak kat wad. Nurse datang je aku kata 'saya rasa nak teran, tak bleh nak tahan dah' Terus dia tolak aku ke labor room. Ngan katil-katil wad dia tolak. Dan tak sudah-sudah suruh aku tahan jangan teran. 

Merengkot-rengkot aku atas katil mengawal nafas sepanjang perjalanan dari tingkat 5 ke tingkat 3. Bila contraction dalam lif, beriya aku tarik hembus nafas, tahan tak nak teran. Tak rela beranak dalam lif. Sampai tingkat 3, doktor smua dah menunggu sambil siapkan all equipments. Aku tukar katil. Naik katil kat labor room. Time tu lah nk pasang CTG, drip air kat tangan smua. Aku ni dah tak sabar nak meneran. Tapi doktor smua rileks je 'tahan puan..tahan..ni dah 2nd baby kan' chaiitt...macamlah derang tak tahu, hakikatnya klau dah rasa nak teran tu mustahillah nak tahan-tahan. So bila semua dah ready, dan doktor dah bagi green light, tak sabar aku nak teran. Tapi boleh lak takde contraction. Bila contraction datang je, aku amik nafas dalam-dalam dan push sepenuh hati. Habis je teran aku boleh rasa baby mluncur keluar. Alhamdullilah...urusan melahirkan kali ni sangat dipermudahkan. Syukur sangat. Rasa sangat beruntung dan dirahmati.

Bila doktor angkat baby dan tunjuk kat aku, memang terkejut. Sangat surprise. Bila doktor tanya 'anak apa puan?' Nasib aku tak terjawab 'baby boy' Nasib kali ni aku sedar dan nampak kemaluan baby. So jawablah 'baby girl' Tak sangka. Memang adik buat surprise hari Jumaat lah. Adik baby is girl!! Tak sangka. Terus aku teringat segala baju boy yang aku dah beli. Pertama kali aku pantang Elma, memang seiras Eisya masa dia lahir. Sah adik beradik, sama gen.

Doktor terus bawah Elma keluar dan uruskan aku yg masih terlantar. Doktor kuarkan uri dan check luka. Mula-mula derang kata tak perlu jahit tapi lastly jahit gak 1 jarum sebab katanya kalau tak jahit nanti aku rasa pedih. No bius sebab 1 jarum je kan. Sedut gas je. Perrghh punyalah syiok sedut gas tu. Rasa nak tertidur je. Tapi saja doktor tu ajak borak, tak bagi chance langsung aku nak lelap. Settle jahit doktor fill in details dlm system pastu bagi uri. Sempatlah aku minta air sikit nak minum. Ingatkan dapat Milo tapi air suam je ada katanya, jadiklah

Then nurse datang pakaikan pad tali. Terasa juga segan tapi redha je lah.

Bila nurse datang bawak Elma for breastfeed, berbunganya rasa hati. Dapat pegang, dakap, dapat cium dia. Syukur tak terhingga. Dan bila dia pandai hisap menyusu, lagilah aku girang. Bahagia rasa. Dia macam tak puas sebenarnya menyusu tapi terpaksa stop sebab aku nak kena pindah ke wad dah. Kita sambung kat wad ye adik.

Kenapalah nak kena tukar-tukar katil..mengesot-esot aku nak angkat badan. Ngan tangan nurse jadik tempat berpaut. Bila kuar labor room, doktor yang sambut Elma tadi tengah berlegar-legar kat kaunter, rileks je dia. Sempatlah aku senyum kat dia dan ucapkan terima kasih. Sampai kat wad aku rasa kebulur gile. Lapar macam tak makan seharian. Bekalan makanan semua dalam beg. Beg aku entah kat mana, pada Ekwan lah kot. Punyalah aku berharap Ekwan muncul segera. Tapi lepas 40min gak baru dia datang. Bila dia datang, gembiranya rasa dan terus 'yang, lapar' Hahaha..kebulur. Penat melawan contraction.

anugerah dan nikmat terindah yang diberi untuk kali kedua. 

Sementara Ekwan belikan aku roti, aku tatap dan breastfeed Elma puas-puas. Dah jadik mak beranak 2 aku. Bermulalah kembali kehidupan tanpa tidur yang mencukupi untuk aku. Tapi itulah keistimewaan menjadi ibu kan.. 

03 June 2014

I'm Free

Eh macam lupa pulak nak buat makluman kat blog. 

Aku dah habis pantang. Hoyeay, berakhir dah tempoh penuh pantang larang selama 44 hari itu. Walau hakikatnya macam tak pantang pun, aku tetap terikat dengan segala larangan okay. Nak keluar rumah pun tak boleh sesuka hati. Nak makan pun berkira-kira. Tapi bab makan ni still pantang gak lah sebab aku menyusukan Elma. Risau tak serasi meragam pulak perut dia. Masih kena try and error. 

Yang paling seronok, hari akhir berpantang jatuh pada hari anniversary. Memang double hoyeay. Tapi sebab Ekwan kena keje dan kena gi kedai pulak, takde lah celebrate beriya. Dia penuhi segala keinginan aku pada hari tu pun dah rasa bertuah dan puas hati. Lunch kat secret recipe,walau plan asal nak dinner kat Bora Asmara. Takpe, aku tuntut lain kali. Hehehe. Pastu gi Ikea beli almari baju anak-anak. Pastu gi hantar kain nak buat baju raya ke Cik Ani. Begitulah aku meraikan berakhirnya tempoh berpantang dan anniversary ke-5 kami.

Baru ingat nak selfie berdua, budak ni datang menyelit.

puteri sulung kesayangan yang tetap manja kededek.

Rancangnya nak gi Penang celebrate. Ekwan pun dah setuju tapi mengenangkan Elma, terus cancel. Elma mesti tak larat nak travel jauh-jauh. Balik dari JB ke KL pun dia macam tak selesa. Inikan pulak nak berjalan-jalan ke Penang. Takpelah, aku tahankan je lah keinginan dan nafsu berjalan aku demi keselesaan dan kesihatan Elma. Dia kecik sangat lagi. Kalau tak menahan sangat pun, aku lepaskan lah dia 6 bulan dulu. Bagi kebal sikit.

Jadik mak ni banyak kena berkorban. Kena pikir banyak benda, tak boleh nak pikir diri sendiri je.

Result selepas berpantang selama 44 hari?? Berat masih maintain di 67kg. Statik. Rasanya itu jelah yang mampu aku capai kot. Nak diet pun tak boleh, makan sikit pun tak daya. Sebab aku memang akan rasa macam lapar tahap kebulur kalau makan nasi sikit setiap kali lepas menyusu. Aku kena makan nasi selambak dalam pinggan, pastu sentiasa ada kudapan. Hhhmm...harapkan bulan puasa je lah nanti. Tapi tu pun belum tentu larat nak puasa..kalau dah gini gayanya. Tengoklah nanti. Tapi bila banyak baju-baju lama yang size M dah boleh sarung semula, seluar jeans saiz 30 tu pun macam longgar, haruslah aku kegembiraan kan. Baju-baju kurung moden yang jadik hiasan dalam almari pun boleh sarung semula, aku senyum gak lah walaupun berat hanya hilang 13kg. 

*pantang macam tak pantang, camne hasil nak gempak. padan muka ko dayu.

02 June 2014

Kali Kedua

Aku memang berazam dan pasang niat, semenjak Elma dalam kandungan lagi. Aku nak susukan dia dengan susu badan sepenuhnya. Selagi mampu. Tak mahu mengalah. Aku yakin badan aku akan merasa sekali lagi keajaiban yang Allah berikan kepada setiap Wanita. Alhamdullilah, di awal kelahiran Elma, susu dah ada. Walaupun tak lancar, tak banyak..cukup untuk mengenyangkan Elma dan tak buat dia merengek. Bila dia boleh tidur lena setiap kali lepas menyusu aku assume, dia dapat susu yang cukup dan kenyang. Takdelah aku gelabah nak bancuh susu tepung.

Liang susu aku memang macam tersumbat minggu pertama tu. Kalau pam time bengkak memang tak keluar langsung. Time Elma hisap pun sakit, terkepit-kepit aku menahan. Tapi bila Elma terus menyusu, alhamdullilah smua menjadi normal. Susu pun semakin banyak. Selalu Elma tersedak bila susu memancut. Kerap jugak bengkak sebab Elma jenis yang tak kuat menyusu dan every feeding dia hisap sikit je. Tapi time tu tak pulak aku terasa nk mengepam sedangkan pump dah terpasang tepi katil.

Kali ni aku memang betul-betul bersedia untuk menyusu badan. Tak macam kali pertama dulu. Nak bagi anak susu badan tapi satu apa tak prepare. Ilmu lagilah takde. Cukup bertuah Eisya dapat merasa susu badan sepenuhnya sampai 2 bulan. So time Elma ni aku bersedia dari segala segi. Insya Allah, semoga niat dan harapan aku ni dimakbulkan.

Badan aku bukan jenis yang susunya melimpah ruah, sekadar cukup makan je. Aku hanya mampu bekalkan 8oz je untuk Eisya setiap hari dulu. Untuk 2 kali feeding je. Selebihnya dia minum susu tepung. Silap aku jugak. Usaha pun tak seberapa. Aku takde pun amik apa-apa supplement nak menambah susu. Minum air masak pun kurang. Minum ais. Manalah susu tak sikit. Cuma sebab rajin mengepam, susu maintain lah. Tapi aku tetap syukur, dalam sikit-sikit susu aku tetap dapat bagi Eisya susu badan sampau dia setahun lebih.

Belajar dari pengalaman lepas, kali ni aku mula ambil supplement dari awal. Didik diri minum air masak banyak-banyak dan secara konsisten *yg ni masih kurang berjaya* Setiap kali breakfast amik ESP Shaklee. Pastu minum barli, tak pun air rebusan longan kering ngan kurma merah. Dan aku dah mula mengepam dari sekarang. Ni yang paling penting ni, so bila masuk kerja nanti dah ada stock, tak lah baru mengelupur nak buat stock.

Baru 3 hari aku start mengepam. Agak lewat, Elma dah 6 minggu. Takpe, better late than never kan *chewah...pujuk diri ni namanya* Hasil agak kurang. Sekali pam dapatlah 2oz. Tu dua belah tu. Hhmm..mungkin sebab Elma pun menyusu direct. Takpe, aku tetap percaya susu badan ni terhasil mengikut demand. Aku akan tetap mengepam walau hasilnya cuma 1oz. InsyaAllah, nanti makin lama makin banyaklah susu yang berjaya aku perah.

Aku masih mengunakan Spectra 3 ni. Selamat kembali berkhidmat wahai breast pump. Alhamdullilah, masih berfungsi dengan baik walau dah hampir 3 tahun tak digunakan. Dulu aku pakai single pump je. Kali ni aku beli breast shield set, dgn harapan bila double pump banyaklah susu yang berjaya diperah.

Insya Allah Elma, ada rezeki untuk awak menyusu dengan susu ibu. Moga-moga makin bertambahlah susu ibu. Ibu akan pastika ibu trajin mengepam.

*nampak gaya usaha aku amik pelbagai milk booster menunjukkan hasil. sebelum ni nak dapat 2oz pun susah, tapi lepas minum air longan ngan kurma merah, merasalah gak dapat 3oz sekali pam. alhamdullilah, syukur sangat, gembira bukan main aku.